308 kilang haram: Kenapa PBT tak ambil tindakan?
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil ke atas kilang yang beroperasi secara haram di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Presidennya, S Piarapakaran berkata, menjadi tanda tanya bagaimana kilang berkenaan beroperasi dan memperoleh bekalan air serta elektrik bagi menjalankan perniagaan mereka.
"Macam mana mereka (kilang) ini boleh dapat sambungan air dan elektrik. Bagaimana prosedur yang dilakukan mereka dalam proses mendapatkan bekalan ini.
"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dah tau operasi itu haram, kenapa tidak ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebanyak 308 kilang daripada 6,000 yang berada dalam kawasan pentadbiran MPS disahkan beroperasi secara haram.
Piarapakaran mendakwa mustahil bagi PBT tidak menerima aduan daripada orang awam atau perseorangan sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka.
"Sebagai contoh apabila berlaku pencemaran di Sungai Semenyih, ada penduduk datang memberi aduan dengan butiran-butiran lengkap termasuk dalang yang terbabit. Tetapi adakah aduan itu diambil tindakan serta-merta.
"Saya pelik kenapa PBT seolah-olah seperti tutup sebelah mata kerana lesen dan permit yang sah adalah salah satu punca pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata, walaupun hanya sekitar lima peratus daripada 6,000 kilang yang terbabit, namun sekiranya membabitkan bahan kimia bertoksik, ia memberi implikasi besar.
"Seperti pencemaran di Sungai Selangor, ia memberi kesan besar kerana sungai ini membekalkan 60 peratus bekalan air kepada penduduk Lembah Klang," katanya.